assalamualaikum..
kita mempunyai hak pada diri kita. kita dapat menentukan hala tuju hidup sendiri. mahu percaya, beriman, mati, itu semua pilihan kita. siapa pun tidak boleh halang. diri dan hidup kita, kita yang tentukan. diri ini milik kita. apa kena mengena Tuhan dengan hidup kita? kemana sahaja kita pergi, kita yang tentukan. langkah kaki kita, kita yang tentukan.
benarkah begitu?
pernah atau tak hati kita terjentik berkata begitu? akal kita terdetak berfikir begitu? persoalannya, benarkah kita ini pemilik sebenar diri kita? pada zahirnya, sememangnya kita ini dilihat seperti pemilik hakiki diri kita, tapi pada fitrahnya, kita bukanlah pemilik diri kita. sebenarnya, kita hanya menumpang jasad yang Allah cipta. malah, roh yang membawa nyawa kepada jasad yang kita pinjam ini juga milik-Nya. semua ini hanya pinjaman. jadi, pemilik sebenar dan hakiki diri kita ialah Allah. Dialah pemiliknya. bukan kita. diri ini bukan hak milik kita. kita hanya peminjam. dan suatu hari nanti pinjaman ini harus dipulangkan kepada Allah, tuan yang memberikan pinjaman. tetapi, kita diberi tanggungjawab untuk menjaga diri kita ini dengan baik. menggunakannya dengan baik. memperlakukannya dengan baik. itu sahaja.
jika ada yang masih keras mengatakan bahawa jasadnya adalah miliknya, cuba, cuba genggam tangan , kemudian buka balik genggaman, cuba, gerakkan kaki, tangan dan anggota badan kita, mesti bolehkan? cuba sentuh dada kita, kita dengar apa? dengupan jantung bukan? cuba hentikan dengupan jantung itu selama 5 minit. boleh? pasti tidak boleh bukan? sekiranya tubuh badan itu kita yang punya, kita berkuasa berbuat apa jua bentuk perubahan pada anggota badan tanpa masalah.
begitu juga dengan organ-organ lain di dalam badan. buah pinggang, hempedu, paru-paru, pankreas dan berbilion sel di dalam tubuh. tidak sesaat pun kita mengawalnya. kita tidak pernah mempedulikan proses rumit yang berlaku di dalam badan kerana yakin semuanya bergerak secara automatik sehingga kita tua.
badan umpama kereta dan roh pula adalah pemandunya. jurutera membina kereta yang dipandu dengan baik. sebagai pemandu, kita tidak pernah mengambil tahu cara enjin kereta berfungsi semasa bergerak, minyak dibakar di dalam piston dan bagaimana. penghawa dingin berfungsi. betulkan? kita cuma diajar cara memandu dengan mengawal stereng, gear dan brek. itu sudah cukup membuatkan kereta itu bergerak ke mana-mana destinasi yang dituju. begitu juga dengan badan. kita cuma mengawal pergerakan tubuh. namun, organ-organ yang menghidupkannya tidak pernah kita ambil tahu. bukan setakat tidak pernah ambil tahu, melihat jantung sendiri pun kita tidak pernah.
seperti kereta, kereta itu mempunyai jurutera yang membinanya. badan kita juga mempunyai 'jurutera' yang membinanya. bezanya badan kita dan seluruh alam ini dibina oleh 'jurutera' paling agung iaitu Allah yang Maha Pencipta. Dia yang menciptakan kita dan segala benda yang ada. kita cuma dapat mengawal tidak sampai lima peratus daripada tubuh badan kita. yang selebihnya berfungsi secara automatik seperti yang ditetapkan Allah.
pada masa ini pun, jantung, buah pinggang, paru-paru dan semua organ badan kita sedang berfungsi. adakah kita kawal semua itu? semuanya rahmat Allah kepada kita. cuba bayangkan, bagaimana mahu hidup sekiranya sibuk dengan organ-organ badan yang perlu dikawal sendiri? Allah permudahkan segalanya bagi kita. namun, jarang sekali kita bersyukur.
hanya satu perkara yang dia minta kita buat iaitu mengaku Dia adalah Tuhan dan kita perlu menyembah-Nya yang menciptakan kita dan mengakui Nabi Muhammad pesuruh-Nya. itu pun tidak boleh? adakah Dia menghantar bil pada setiap hujung bulan bagi oksigen yang kita sedut dan bernafas dengannya? adakah Dia meminta kita membayar upah kerana menggunakan jantung, paru-paru dan buah pinggang? adakah Dia menarik kembali semua benda itu daripada kita kerana tidak pernah bersyukur dan mengaku Dia itu Tuhan? tidak pernah bukan? itu tanda-Nya Dia Tuhan yang Maha Penyayang. bersyukurlah dan sedarlah kita bukan pemilik diri kita. jadi, kita tiada hak untuk melakukan sesuka hati terhadap diri kita. Dia pemilik yang kekal.
No comments:
Post a Comment